Thursday 25 April 2013

TOL SUNGAI NYIUR DIROBOHKAN???


Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa mungkir janji isu tol

BUTTERWORTH 31 Mac - Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya pandai menabur janji tetapi tidak pernah ditunaikan dalam tempoh lima tahun memerintah negeri itu.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang berkata, antara janji yang gagal ditunaikan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ialah meruntuhkan tol Sungai Nyiur.
"Guan Eng kata mereka akan menghapuskan bayaran di plaza tol ini sekiranya kerajaan Persekutuan tidak berbuat demikian dalam masa tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU Ke-12).
"Sekarang dah masuk lima tahun mereka perintah Pulau Pinang, namun kutipan tol ini masih berjalan seperti biasa dan pelbagai alasan diberi Guan Eng untuk menghalalkan tindakannya tidak merobohkan plaza tol ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengetuai kira-kira 30 orang membuat demonstrasi aman di plaza tol itu hari ini.
Yang turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu, Sum Yoo Keong dan Penyelaras DUN Bagan Dalam, M. Karuppanan.
Dalam demonstrasi itu, mereka turut memegang poster dan kain rentang membantah tindakan kerajaan DAP dan meminta agar plaza tol tersebut segera dirobohkan.
Menurut Teik Siang, kerajaan DAP ternyata tidak ikhlas untuk membantu rakyat sebaliknya hanya pandai bermain kata-kata dan mengubah fakta.
"Kami sanggup berpanas untuk mengadakan demonstrasi ini bagi memaklumkan kepada orang luar bahawa mereka harus berfikir semula jika mengatakan kerajaan DAP Pulau Pinang cemerlang di negeri ini," ujarnya.

SUMBER:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130401/po_13/Kerajaan-DAP-Pulau-Pinang-didakwa-mungkir-janji-isu-tol#ixzz2RTw9jGgv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment