Thursday 25 April 2013

KAMI TAK NAK LABUR DI PULAU PINANG



PULAU PINANG 24 April - Kerajaan DAP Pulau Pinang terus gagal menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata, punca utama kemerosotan mendadak itu disebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai polisi yang jelas dalam menarik pelabur asing.
"Pada 2010, Ketua Menteri, Lim Guan Eng boleh berbangga apabila negeri ini menerima FDI lebih RM12 bilion namun merosot kepada RM9 bilion pada 2011 dan terus merudum kepada lebih RM2 bilion sahaja pada tahun lepas.
"Pada dua bulan pertama tahun ini pula, keadaan tidak berubah apabila kemasukan FDI terus lesu dan dikhuatiri bakal memberi kesan kepada ekonomi negeri dan mengehadkan peluang pekerjaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Chang Yeow, situasi menjadi bertambah buruk pada tahun ini apabila Pulau Pinang hanya menerima RM59 juta FDI untuk tempoh dua bulan pertama manakala sebanyak RM291 juta merupakan pelaburan domestik seperti yang disiarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Jumlah keseluruhan hanya sebanyak RM350 juta dan cuma berada di tangga keempat. Ini mengundang persoalan besar tentang pengurusan ekonomi kerajaan negeri," katanya.
Guan Eng sebelum ini mengakui kemerosotan berkenaan namun menyifatkan sebagai perkara biasa kerana impak kemelesetan ekonomi global.
Mengenai penjelasan Guan Eng itu, Chang Yeow berkata, ia sekadar alasan untuk menutup kelemahan kerajaan negeri kerana hakikat sebenar ialah tiada langkah proaktif diambil untuk menarik FDI.
"Kalau Ketua Menteri kata begitu, kenapa Sarawak boleh mencatat FDI sehingga lebih RM2 bilion bagi dua bulan pertama tahun ini manakala Selangor mencatat RM173 juta FDI?," soalnya.
Menurutnya, walaupun berlaku kemerosotan ekonomi global, syarikat-syarikat gergasi dunia terus mengeluarkan produk terbaharu.
"BN pula mempunyai polisi jelas apabila kita merancang untuk memperkenalkan status pelaburan bebas selain mewujudkan enjin baharu ekonomi negeri melalui bidang perkhidmatan," ujarnya.

SUMBER
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130425/po_10/Pulau-Pinang-terus-gagal-tarik-pelabur#ixzz2RTzVvVmY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment