Thursday 25 April 2013

SERAMMM.....TEROWONG MAUT PULAU PINANG.....


Mereka berpendapat, penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam sedia ada adalah lebih bermanfaat daripada membina terowong dan lebuh raya baharu.
Penyelidik Citizen Awareness Chant Group (Chant Group), Khoo Kay Peng berkata, dalam kaji selidik tersebut, sebanyak lapan soalan diajukan kepada 1,000 responden dari sekitar Persiaran Gurney, Pulau Tikus dan Tanjung Pinang yang bakal menerima kesan akibat projek berkenaan.
"Sebanyak 60 peratus responden memilih penambahbaikan pengangkutan awam berbanding pembinaan terowong dan jalan raya baharu seperti yang mahu dibangunkan oleh kerajaan negeri.
"40 peratus responden pula mengaku tidak tahu menahu mengenai projek tersebut manakala 75 peratus menyatakan tidak menerima sebarang maklumat lengkap daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Projek terowong dasar laut yang dirancang kerajaan DAP Pulau Pinang sepanjang 6.5 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan pintas sepanjang 4.6 km dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam dan jalan empat lorong sepanjang 12 km menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dibantah pelbagai pihak yang bimbang implikasi buruk terhadap penduduk dan alam sekitar negeri ini.
Kay Peng dalam pada itu menambah, kaji selidik berkenaan bukan dilakukan untuk mencetuskan rasa curiga rakyat terhadap projek tersebut tetapi mahu mendapatkan maklum balas daripada mereka.
"Lebih 70 peratus mengaku tidak menerima penerangan dari kerajaan negeri manakala mereka yang mengaku tahu pula, apabila ditanya mengenai lokasi, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang tepat.
"Apa yang lebih mengejutkan adalah 70 peratus daripada responden mengaku tidak tahu apabila ditanya mengenai kaedah pembayaran yang akan dilakukan dalam menampung kos projek tersebut.
"Perkara ini jelas kerana melibatkan integriti kerajaan negeri yang selama ini melaungkan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT)," ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Chant Group, Profesor Jimmy Lim berkata, pihaknya tidak berniat untuk mengkritik tetapi berpendapat banyak kaedah lain yang boleh digunakan dalam mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di bahagian pulau.
"Pulau Pinang tidak boleh jadi seperti Singapura dan Hong Kong malah sangat berbeza. Bandar ini tidak dibangunkan untuk menerima kemasukan kenderaan yang banyak.
"Cuba lihat susun atur bangunannya. Jadi pihak berkuasa tempatan perlu lebih peka dan bijak dalam mencari jawapan kepada permasalahan sedia ada.
"Amat rugi sekiranya kita hilang Persiaran Gurney yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pemuliharaan bakau yang nyata tiada di Singapura dan Hong Kong," katanya.

SUMBER
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130425/po_09/Rakyat-P-Pinang-tolak-terowong#ixzz2RU09J1j2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment